KUALA LUMPUR: Keadaan banjir di Pantai Timur terutamanya Kelantan semakin buruk dengan cuaca gelap dan hujan renyai di negeri itu menyebabkan mangsa di pusat pemindahan banjir meningkat kepada 3,787 orang berbanding 3,303 orang semalam.
Daripada 970 keluarga dipindahkan hari ini, Jajahan Pasir Mas mencatatkan jumlah tertinggi seramai 2,008 orang dan jajahan itu termasuk kawasan Rantau Panjang, bandar zon bebas cukai berdekatan sempadan Thailand, yang terjejas teruk dalam banjir gelombang kedua sehingga ditenggelami air sedalam dua meter.
Jurucakap Pusat Kawalan Operasi Banjir (PKOB) Negeri berkata Kuala Krai pula merekodkan jumlah mangsa seramai 885 orang, Tumpat (438 orang), Tanah Merah (333 orang), Kota Baharu (63 orang) dan Machang (60 orang).
"Hanya Sungai Golok di Rantau Panjang dan Sungai Kelantan di Jeti Kastam, Tangga Krai dan Jambatan Guillemard mencatatkan atas paras bahaya, manakala Sungai Galas berada di paras berjaga-jaga dan Sungai Lebir berada di paras amaran," katanya kepada hari ini.
Beliau berkata sebanyak 21 jalan ditutup untuk semua kenderaan melibatkan enam jajahan antaranya di Gua Musang di Jalan masuk Aring 8 dan 9 di Kilometer 15; di Kota Baharu-Pantai Cahaya Bulan kilometer empat; Jalan Sultan Yahya Petra, Kuala Krai; di Machang Jalan Machang-Pangkal Meleret-Wakaf Bata dan di Pasir Puteh, Jalan Semerak kilometer 11.
urucakap itu berkata di Pasir Mas, lapan jalan ditutup untuk semua kenderaan iaitu Jalan Rantau Panjang-Panglima Bayu KM8.8 dan KM8; Jalan Pengkalan Rakit KM3; Lebuh raya Pasir Mas-Rantau Panjang KM24; Pasir Mas-Meranti KM7; Pasir Mas-Lebuh Raya Rantau Panjang (cabang empat banggol kulim) KM22 dan Pohon Tanjung Meranti KM10.
Menurutnya setakat ini, tiada kemalangan jiwa dilaporkan.